Saya telah dilahirkan pada 14 Ogos 1973 di Hospital Besar Kota Bharu. Berasal dari sebuah keluarga petani yang beralamat di Kg. Kubang Getah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. Dibesarkan oleh ayahanda yang tercinta iaitu allahyarham Yaacob b. Jusoh kerana allahyarham telah berpisah dengan ibu semasa saya masih kecil. Allahyarham telah meninggal dunia sewaktu saya sedang menunggu keputusan peperiksaan SPM pada tahun 1991. Saya mempunyai perjalanan hidup yang susah yang penuh dengan ranjau, onak dan duri di mana terpaksa bekerja sendiri untuk menanggung persekolahan dan menjaga allahyarham sewaktu sakitnya yang panjang. Hidup seorang diri tanpa adik-beradik walaupun saya mempunyai 2 orang abang, 3 orang kakak dan seorang adik. Ini adalah kerana adik-beradik yang lain tinggal bersama ibu dan ada yang sudah berumahtangga.
Mendapat pendidikan awal di SK Kedai Piah, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan. Kemudian menyambung ke SM Kadok sebelum meneruskan pelajaran di Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) Ipoh. Kemudian meneruskan pengajian di SMU (A) Darul Saadah Beta Hulu untuk mengambil SRP kerana saya telah keluar dari STAR dan tidak sempat menduduki SRP semasa di sana. Kemudian melanjutkan persekolahan di SM Ketereh dalam Tingkatan 4 dan 5. Saya pernah menjadi Pelatih Pegawai TUDM Tauliah Jangka Pendek selama 6 bulan selepas SPM di Sekolah Pegawai Kadet TUDM Subang. Tetapi telah keluar sebelum ditauliahkan atas sebab-sebab yang tertentu.
Saya pernah bekerja kilang di Pulau Pinang selama kira-kira 3 tahun selepas keluar dari SPK TUDM Subang. Kilang yang pernah saya bekerja ialah Formosa Engineering di Bayan Baru iaitu sebuah kilang yang mengeluarkan produk mainan kanak-kanak. Kemudian saya bekerja di Kilang Komag USA juga di Bayan Baru yang mengeluarkan produk berasaskan cakera padat.
Saya telah memasuki Maktab Perguruan Tuanku Bainun di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Julai 1994. Menjalani latihan perguruan dalam bidang Pengajian Matematik sekolah rendah selama 2 setengah tahun. Pernah mengikuti latihan mengajar di SK Seberang Jaya, Seberang Perai dan SK Sg. Bayor, Perak. Kemudian telah ditugaskan mengajar di SMK Segambut Jaya, Kuala Lumpur pada Januari 1997. Kemudian pada tahun 2001 mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tg. Malim, Perak.
Saya telah mendirikan rumahtangga dengan Hazlina bt. Tajudin pada bulan November 1999. Mula berkenalan dengan isteri di sekolah yang mula ditugaskan di mana isteri saya pun mula bertugas di situ pada tahun 1998. Saya telah mempunyai 4 orang anak iaitu seorang anak perempuan (Anfaal) dan 3 orang anak lelaki (Abdul Aziz, Abdul Alim dan Abdul Azim).
Kini saya bertugas di SMK Dato' Zulkifli sebagai guru Matematik dan Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 5 bermula pada 16 Mei 2004 setelah tamat pengajian di UPSI. Menetap di rumah sendiri yang beralamat di No. 16, Jalan WM 3/22, Bandar Behrang 2020, Behrang Stesen, Perak.
Saya mempunyai hobi mengakses internet dan melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan komputer. Bagi melepaskan geram terhadap hobi saya yang unik ini, saya telah membuka sudut 'cyber cafe' di halaman rumah. Sebanyak 8 buah komputer disediakan untuk tujuan akses internet. Di samping itu, saya juga menyediakan perkhidmatan cetakan warna atau hitam putih, scan gambar, burn CD/DVD, baiki komputer atau laptop dan menjual PC atau laptop serta aksesorinya. Sesiapa saja boleh datang ke rumah saya untuk mengakses internet atau belajar sesuatu mengenai komputer atau dunia cyber. Caj yang dikenakan adalah berpatutan dan paling rendah akan dikenakan. Jika berminat atau ada sebarang kemusykilan bolehlah datang ke rumah saya seperti alamat di atas. Tunjuk ajar untuk menyediakan laman web ini akan diberikan secara percuma terutamanya kepada guru-guru SMKDZM. Saya juga boleh dihubungi melalui talian telefon bimbit 013-2068016 atau 05-4597306 atau bolehlah diemelkan ke
sham1973@streamyx.comKalau ditanya kenapa memilih profesion perguruan sebagai kerjaya? Banyak faktor yang mendorong saya memilihnya. Antaranya ialah disebabkan tugas mendidik ini adalah tugas yang mulia di sisi Allah swt. Setiap curahan ilmu dan tunjuk ajar yang diberikan kepada murid-murid pastinya dilimpahkan ganjaran yang tinggi daripada Allah swt. Memang tidak dinafikan golongan cikgu mendapat tempat di dalam masyarakat. Masyarakat memandang mulia golongan cikgu. Akan tetapi tidak dinafikan terdapat juga segelintir manusia yang bergelar cikgu melakukan perkara yang dibenci masyarakat menyebabkan golongan cikgu tidaklah begitu dimuliakan sebagaimana semasa waktu dahulu.