Friday, May 16, 2008

Selamat Hari Guru 2008

Hari ini, 16 Mei sambutan Perayaan Hari Guru telah diadakan di seluruh sekolah di Malaysia. Manakala Peringkat Kebangsaan telah diadakan jam 3.00 petang tadi di Ayer Keroh, Melaka. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru, termasuk bekas-bekas guru saya dari peringkat sekolah rendah hinggalah mahaguru saya di universiti.

Hari Guru patut dianjurkan oleh pelajar untuk guru-guru mereka. Pihak sekolah harus melatih pelajar-pelajar mengadakan sambutan untuk mereka. Jangan terlampau banyak peranan guru di situ sehingga seolah-olah menampakkan kita yang beriya-iya menyambut hari kita sendiri.
Kita patut memberikan kepercayaan kepada pelajar-pelajar kita mengadakan sambutan buat kita. Tanpa kepercayaan, pelajar-pelajar tidak mungkin dapat peluang untuk meluahkan secara bebas seluruh daya kreativiti dan perasaan hormat mereka kepada kita. Sekolah yang ada Tingkatan 6 lebih bertuah kerana mereka ini akan mengepalai sambutan ini.

Pertama, kita mahu melihat kepemimpinan dan pengurusan bakat-bakat muda ini. Mereka wajar didedahkan dengan pengurusan yang paling kecil ini sebelum mereka terdedah kepada pengurusan dan kepemimpinan di peringkat yang lebih besar. Sambutan Hari Guru adalah ujian pengurusan dan kepemimpinan pertama mereka.

Guru-guru bertindak memberikan mereka garis panduan, mengawal selia, bertindak sebagai fasilitator dan membantu mereka mendapatkan keperluan yang diingini. Selebihnya terserah kepada mereka. Jangan terlampau banyak gangguan sehingga menyekat kreativiti mereka.
Selepas semua acara selesai sama ada berjaya sepenuhnya atau tidak guru-guru patut mengucapkan terima kasih dan syabas kepada mereka atas kejayaan menyambut Hari Guru. Sekurang-kurangnya, mereka telah melakukan sesuatu yang mereka mahu dan terdaya. Itu sudah dikira lebih baik daripada guru-guru yang melakukannya.

Walaupun kepercayaan diberikan kepada para pelajar untuk berkreativiti, namun jangan lepaskan semuanya kepada mereka. Mereka harus dibimbing, bukan dibebas lepas sehingga sambutan itu menjadi caca merba. Mereka patut dilatih dan dibiasakan dengan tradisi yang mulia ini.

Ucapan wakil pelajar harus disemak. Begitu juga persembahan pelajar. Kita tidak mahu ada guru yang tersinggung dengan ucapan dan persembahan itu. Guru wajar mendapat hanya yang terbaik sahaja pada hari itu. Ini termasuklah kata-kata pujian dan tahniah kepada mereka.
SELAMAT HARI GURU kepada semua guru daripada Cikgu Shamsuddin.

No comments: