Kehadiran Blog telah membuka ruang kepada majoriti mereka yang tidak mempunyai kemampuan kewartawanan atau pemberitaan untuk menulis dengan bebas. Dengan hanya beberapa langkah mudah, yang tidak sampai pun beberapa minit satu laman blogspot telah pun terhasil. Semuanya percuma. Tidak seperti laman berbayar yang lain, mereka tidak perlu fikirkan tentang bayaran hosting, server dan nama domain.
Golongan ini sedar bahawa cara penulisan mereka itu memang akan ditolak awal-awal lagi oleh pihak akhbar dan majalah. Maknanya kalau melalui proses biasa, kebarangkalian karya atau tulisan mereka disiarkan hampir tidak ada, sedangkan keghairahan untuk menulis itu membuak-buak dalam diri mereka.
Tiba-tiba mereka mendapat penggantinya, iaitu blog. Kemudahan internet yang turut diberi tempat oleh kerajaan Malaysia sebagai tanda keterbukaan pihak kerajaan, telah mengubah nasib golongan ini. Mereka yang pada asalnya tidak berkemampuan untuk menulis tiba-tiba sahaja boleh menulis. Mereka teruja dengan keadaan yang baru mereka terima ini.
Kemunculan laman-laman blog percuma seperti blogspot, blogdrive, myspace, portal dan lain-lain merupakan kemunculan yang tidak disangka-sangka oleh mereka ini. Semuanya kerana adanya kemudahan internet, simbol ketinggian tamadun manusia dalam dunia komunikasi dan maklumat.
Keadaan ini bolehlah diumpamakan seperti orang mengantuk disorongkan bantal atau pucuk dicita ulam mendatang. Lalu mereka pun menulislah tentang apa sahaja yang mereka rasa seronok untuk ditulis. Mereka menulis apa yang kawan-kawan dan orang seperti mereka suka dengar. Mereka melakukan semua ini semahu mereka tanpa ada sekatan. Tidak ada sesiapa yang akan menyemak tulisan mereka sama ada tata bahasanya, kebenaran kandungannya atau kandungan itu sendiri. Merekalah yang menentukan segala-galanya.
Sebahagiannya bukan sekadar menulis, tetapi dengan bebas boleh melampiaskan keseluruhan perasaan marah dan benci mereka kepada seseorang atau pihak tertentu. Individu atau pihak yang mereka tidak gemari akan dituduh dan dinista macam-macam. Sebaliknya individu atau pihak yang disukai, mereka akan puji melangit.
Mereka menulis berdasarkan sumber perasaan ketimbang pemikiran. Mereka tidak lagi menjadikan kebenaran sebagai landasan. Selain perasaan mereka sendiri, sumber-sumber mereka adalah individu-individu yang sehati sejiwa dengan mereka. Apa yang mereka pungut di jalan-jalan, di pasar-pasar, di kaki-kaki lima, di majlis-majlis, di kedai-kedai kopi dan dari mana-mana jua mereka terus percaya lalu dimasukkan dalam blog mereka.
Mereka pun menjaja yang cara dan tulisan mereka itu betul, dan pada masa mendakwa orang lain salah. Mereka mahu orang percaya sahaja apa yang mereka tulis. Dan jika kita katakan tulisan dan tuduhan mereka itu tidak betul, mereka akan hentam kita kembali. Begitulah cara mereka menerima kemudahan ICT ini.
Begitulah ICT telah menjadikan mereka bertambah angkuh. Begitulah ICT (internet) telah membutakan mata dan hati mereka kepada perkara-perkara yang benar. Blogger dan blog seperti inilah yang patut dipantau.
PN mencari penawar untuk pulih keretakan
3 days ago
No comments:
Post a Comment