Nampaknya selepas Brazil, saya harus memilih Belanda sebagai pasukan bola sepak pilihan.Bersandarkan pencapaian Belanda dalam Euro 2008 di peringkat awal saya percaya selepas ini tiada sesiapa yang berani memandang mudah lagi ke arah pasukan itu.
Dengan memungut 9 mata penuh daripada tiga perlawanan dan kemenangan ke atas dua pasukan gergasi, Itali dan Peranchis bukanlah sesuatu yang mudah kalau bukan di sebalik kejayaannya itu wujud suatu strategik dan taktik yang ampuh yang telah diatur sekian lama oleh pasukan itu.
Kemenangan Belanda ke atas Romania menjelaskan lagi kepada kita betapa mereka memang serius dan komited sebagai pasukan yang sentiasa bersedia mempamerkan semangat perjuangan jitu dalam arena bola sepak.
Jika pasukan lain mungkin memilih untuk kalah dalam perlawanan tersebut setelah sudah pasti masuk ke suku akhir, namun pilihan seperti itu bukan cara Belanda.
Belanda tidak akan terdorong membuat pilihan mudah dan popular seperti itu hanya semata-mata untuk mengelak daripada bertemu sekali lagi dengan pasukan kuat seperti Itali.
Percaturan seperti itu nampaknya tidak ada pada Belanda. Yang ada hanya satu, iaitu mempamerkan aksi di padang pada tahap terbaik walau siapa pun yang dihadapi dan dalam apa jua situasi.
Namun yang lebih mengujakan ialah sikap merendah diri yang ada pada jurulatih dan pemain-pemain Belanda yang sedikit pun tidak pernah memandang rendah kepada keupayaan lawan.
Sikap terpuji itu jika dicampur dengan pencapaian yang telah ditunjukkan membuatkan Belanda menjadi pasukan yang hampir sempurna. Ini ditambah dengan tuah memiliki semua pemain yang boleh diharap dan berpotensi memporak perandakan lawan dalam apa jua keadaan.
Pasukan yang mengalahkan Itali dan Peranchis bukanlah pasukan yang berbeza dengan pasukan yang mengalahkan Romania. Itu lebih menggambarkan betapa Belanda merupakan sebuah pasukan besar yang saling melengkapi dan bersedia berjuang apabila diserah tugas.
Setiap pemainnya mempunyai kelebihan dan kelebihan itulah yang sedang dipamerkan dalam Euro 2008.Mereka bukannya turun untuk memandang rendah lawan, tetapi mereka ingin berjuang sehabis baik untuk mencapai kemenangan.
Sikap terpuji, motivasi pada tahap optimum, skill bola sepak yang semakin ditingkatkan, mutu persembahan dan pencapaian semua entiti yang wujud dalam pasukan Belanda: daripada peringkat pengurusan, jurulatih hinggalah kepada semua pemain dan pemain simpanan adalah sinergi yang bakal mencorakkan warna baru kepada bola sepak dunia.
Saya percaya semua ramuan yang dimiliki Belanda ini akan digali, dipelajari dan dicontohi oleh mana-mana pasukan bola sepak yang inginkan peningkatan.
PN mencari penawar untuk pulih keretakan
3 days ago
No comments:
Post a Comment