Friday, June 13, 2008

Pelajar Atau Kita Yang Bermasalah?

Pelajar yang melakukan kesalahan perlulah dilayan sebagai seorang manusia bukannya sebagai pesalah jauh sekali sebagai penjenayah. Sebesar mana pun kesalahan mereka, mereka adalah pelajar yang sedang melalui proses pembelajaran. Dalam proses itu mereka belajar daripada jatuh bangun mereka sebagai pelajar.

Mereka tidak perlu dimalukan sebelum, semasa dan selepas hukuman dijatuhi ke atas mereka. Mereka patut menerima hanya hukuman ke atas kesalahan mereka, tidak lebih atau kurang daripada itu.

Sebarang bentuk sentuhan fizikal dengan tujuan untuk menyakiti atau mendera tidak boleh sama sekali dilakukan kecuali hukuman yang dibenarkan seperti merotan. Itu pun dilaksanakan oleh orang yang tertentu di sekolah.

Masalah yang timbul ialah kecenderungan sebahagian kita untuk melayan perasaan marah kita kepada pelajar tertentu. Kita mengaitkan pelajar tertentu dengan stigma negatif. Apabila disebut sahaja pelajar A, kita sudah menetapkan dalam minda kita bahawa pelajar itulah yang paling banyak masalah atau menjadi punca kepada masalah. Kita ceritakan perkara yang kita anggap masalah itu kepada orang lain. Ini sebenarnya tidak banyak membantu diri pelajar berkenaan dan disiplin keseluruhannya.

Ada dua perkara mudah yang selalu sahaja kita terlupa melakukannya atas alasan kita terlalu prihatin terhadap masalah disiplin di sekolah. Pertama menasihati pelajar yang bermasalah dan kedua, mendekati mereka selalu.
Sebahagian guru menganggap mereka telah menasihati pelajar yang terlibat. Sebenarnya apa yang mereka selalu lakukan ialah memarahi atau meleteri pelajar, bukannya menasihati. Apa yang mereka sangka sebagai nasihat itu sebenarnya hanyalah kemarahan dan leteran yang diulang-ulang.

Dengan cara itu mereka pun menaruh harapan besar agar “leteran” atau “kemarahan” itu menyentuh hati pelajar. Tetapi yang sebenarnya berlaku bukan sahaja hati pelajar langsung tidak tersentuh, sebaliknya telinga dan emosi mereka pula yang dimain-mainkan.

Tugas membentuk sahsiah pelajar bukan tugas berkaitan emosi dan minda mereka per se, tetapi yang lebih utama ialah tugas yang berkaitan hati mereka. Justeru, dekatilah mereka dan sentuh hati mereka, kerana di situlah switch segala masalah manusia.

No comments: