Friday, June 6, 2008

Awas sindiket penipuan melalui telefon bimbit

Baru-baru ini saya ada menerima sms daripada penghantar yang tidak dikenali bernombor 012-8147157.

Mesejnya ialah (TAHNIAH! Prepaid Anda Berjaya Memenangi Cek,- RM14.000, - Dari ASTRO MALAYSIA Sila dial Nomber Talian Office: 0062817744679 Terima kasih).

Apabila saya menelefon talian ofis tersebut ia segera dijawab oleh seorang lelaki Cina bercakap bahasa Melayu dalam loghat Indonesia, beliau mengucapkan tahniah kepada saya kerana berjaya memenangi hadiah yang ditawarkan kemudian beliau meminta nama saya dan nombor akaun bank Maybank saya.

Saya menyatakan tiada mempunyai akaun Maybank tetapi saya ada akaun BSN, namun beliau tetap mendesak saya memberitahu nombor akaun Maybank juga.

Kemudian saya teringat pendedahan di dalam Harian Metro beberapa hari lalu berkenaan penipuan melalui sms ini lalu saya bertanya sama ada tawaran ini benar atau tidak dan saya kata talian ini dimaklumkan oleh Astro tiada dalam perkhidmatan mereka.

Saya menyatakan akan membuat laporan polis sekiranya tawaran ini suatu penipuan. Oleh kerana beliau sudah merasakan bahawa tembelangnya sudah diketahui lantas talian telefon terus dimatikan.

Selepas itu saya cuba menghubungi nombor talian telefon bimbit yang menghantar sms kepada saya itu, talian itu dapat dihubungi tetapi tidak dijawab.

Saya mengharapkan sesiapa yang menerima mesej tersebut supaya memadamkannya sahaja kerana ia merupakan satu rangkaian penipuan terancang oleh satu sindiket penjenayah dan ingatkan kepada semua orang agar tidak terpedaya dengan memberikan butiran maklumat dan nombor akaun kepada mereka kerana ada mangsa yang sudah mengalami kehilangan wang dari akaun selepas itu.

Pihak berkuasa juga diminta melakukan siasatan terperinci ke atas Astro, Maxis dan Maybank, bagaimana perkara ini boleh berlaku secara berleluasa dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan, kerana negara kita dikatakan mempunyai teknologi yang cukup canggih seperti yang diwar-warkan.

No comments: