Saturday, May 17, 2008

Apa Yang Lebih Diperlukan Rakyat?

Dalam keadaan sekarang di mana rakyat lebih memerlukan beras daripada idea bernas yang lebih diutamakan ialah pemikiran yang mudah difahami. Selain itu, pemikiran itu praktikal untuk dilaksanakan. Jika fikiran anda hebat pun tetapi tidak difahami oleh orang awam, dan tidak praktikal fikiran anda tidak akan ke mana-mana.Orang awam memerlukan bantuan dan pertolongan bukannya pemikiran yang tajam-tajam dan hebat-hebat. Pemikiran yang tajam-tajam dan hebat-hebat mungkin lebih berguna bagi orang yang sudah stabil semuanya: ekonomi dan emosi.

Rakyat lebih menghormati orang yang selalu hampir dengan mereka dan hadir apabila sumbangan mereka diperlukan daripada seseorang yang terlalu hebat dari segi pemikiran dan kata-kata. Dalam saat-saat dilanda pelbagai krisis (politik ke ekonomi), rakyat memerlukan seseorang yang dapat melegakan mereka daripada terhimpit dengan masalah kenaikan harga barangan keperluan. Jika anda dapat membuktikan bahawa anda memang benar-benar bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam membantu rakyat, anda akan tetap menjadi pilihan.
Anda tidak perlu bimbang dengan tawaran yang diberikan oleh orang-orang tertentu yang tidak mempunyai apa-apa selain janji, isu dan gosip. Kita tidak hidup dengan hanya janji, gosip dan isu. Kita membesar berdasarkan realiti dan apa yang kita sedang usahakan untuk mengatasi masalah-masalah itu.

Anda sedang melihat bagaimana kerajaan begitu bersungguh-sungguh melakukan apa jua cara untuk menangani masalah yang melanda, sedangkan di suatu pihak lagi begitu sibuk mencari salah kerajaan. Tidak ada yang betul selagi kerajaan yang melakukannya; betul itu hanya ada pada mereka. Kerajaan buatlah apa pun, ada sahaja yang tidak kena. Mereka sahaja yang kena, kerajaan semua salah.

Pembangkang tidak membantu untuk menyelesaikan kemelut yang ada. Malahan mereka sukakan kemelut itu berterusan supaya kerajaan dilihat gagal mengatasi masalah itu dan apabila itu berlaku mudahlah mereka menyerang kerajaan konon-kononnya kerajaan tidak berbuat apa-apa. Sungguh mudah kerja pembangkang, hanya tunggu dan lihat, dan apabila ada sesuatu yang boleh diisukan mereka akan membesar-besarkannya. Mereka tak perlu berbuat apa- apa pun.

Kalau ada pun yang dilakukan oleh pembangkang ialah menjaga hati kawan-kawan mereka. Mereka tidak akan menjaga rakyat.Rakyat tetap dijaga oleh kerajaan pusat yang masih berkuasa.Sebab itu pembangkang punya banyak masa memikirkan agenda peribadi dan agenda politik. Ketika kerajaan sibuk menjaga kebajikan rakyat dan keselamatan negara, mereka sibuk memikirkan bagaimana untuk menarik YB daripada parti kerajaan agar melompat ke parti mereka. Mereka tidak habis-habis berpolitik sepanjang masa.

No comments: