Sekolah menempatkan ramai orang pandai. Di sini terhimpunnya segala pakar. Mereka datang daripada pelbagai universiti dan kolej, tetapi mereka mempunyai satu persamaan yang kuat, iaitu kebolehan mengajar. Kebolehan mengajar mereka diiktiraf oleh satu sijil yang dinamakan Diploma Pendidikan. Mereka adalah golongan profesional. Ada yang mahir kimia, fizik, biologi, matematik, matematik tambahan; ada yang mahir seni lukis, bahasa Melayu, bahasa Inggeris, kemahiran hidup dan banyak subjek lagi.
Tetapi dalam keadaan tertentu mereka boleh mengajar beberapa mata pelajaran lain. Mereka juga boleh menjadi guru ganti. Mereka juga boleh menjalankan tugas sebagai guru pusat sumber, guru bilik akses. Mereka boleh diharap sebagai AJK dalam pelbagai program sekolah. Kelihatannya mereka all rounder, tetapi yang lebih tepat lagi ialah mereka insan serba boleh. Mereka boleh memainkan fungsi dan peranan mudah lentur mereka mengikut keperluan dan keadaan tertentu. Di situlah hebatnya manusia bernama guru yang dipanggil cikgu.
Memandang sekolah merupakan sebuah gedung potensi besar, pihak sekolah harus bijaksana menggunakan setiap sumber kekuatan yang ada pada setiap gurunya. Bebanan yang dipikul ke atas mereka harus optimum dan pelbagai supaya tahap motivasi kendiri mereka sentiasa pada tahap yang tinggi. Jangan terlalu rendah sehingga mereka rasa tersisih atau terlalu tinggi sehingga mereka rasa terseksa.
Kalau ini mahu dilihat sebagai kekuatan, ternyata sekolah memiliki individu yang sangat hebat. Individu itu berada di bawah satu bumbung; makan di kantin yang sama, berkumpul di dalam satu bilik yang sama iaitu Bilik Guru, solat di surau yang sama, dan berhimpun di satu tapak perhimpunan yang sama. Jika dalam keadaan kritikal dan kontingensi, masing-masing boleh berfungsi untuk membantu.
Kerja-kerja Pengetua/Guru Besar menjadi begitu mudah di sekolah dengan adanya pakar-pakar ini. Pakar-pakar ini sebenarnya bersedia membantu pada bila-bila masa jika kena cara dan pendekatannya. Bukankah guru itu tugasnya membantu, memberi pertolongan, menunjuk cara, membimbing dan memudahkan.
Selain menjadi pakar dalam subjek masing-masing, guru-guru ini mempunyai keistimewaan lain. Tak kiralah sama ada keistimewaan itu dibawa dari kecil atau diperolehi melalui latihan. Keistimewaan ini sebenarnya menjadi nilai tambah atau bonus kepada guru-guru berkenaan.
Guru-guru yang mempunyai keistimewaan ini biasanya lebih ceria dan aktif di sekolah. Mereka lebih mesra pelajar. Mereka lebih menonjol dalam membantu menaikkan nama sekolah. Mereka ini tidak akan terjebak dengan perasaan terkongkong dengan hanya mengajar yang akhirnya akan mewujudkan sindrom kejemuan dan kemurungan.
Memandangkan keistimewaan atau kelebihan yang ada pada seseorang guru itu penting dan bermanfaat untuk dirinya, pelajar dan sekolah maka adalah wajar potensi guru-guru itu dikenal pasti oleh Pengetua.
Jika guru-guru mengenal pasti potensi yang ada pada murid-muridnya, Pengetua/Guru Besar pula wajib mengenal pasti potensi yang ada pada guru-guru mereka.
Pengetua/GuruBesar harus ingat bahawa kadang-kadang dia dengan mudah dapat mengenal pasti potensi guru-gurunya sebab guru itu sendiri menampakkan bakat dalam bidang masing-masing, tetapi ada kalanya potensi yang ada pada sebahagian guru agak sukar untuk dilihat dengan jelas sebab kecenderungan sebahagiannya untuk melindungi kelebihan yang ada pada mereka.
Banyak sebab yang boleh diberikan mengapa sesetengah guru tidak begitu mahu menonjol. Mungkin dia sendiri daripada jenis pemalu dan introvert. Sebahagiannya pula takut-takut kalau kebolehan yang ada padanya itu akan menjadi bebanan pula kepadanya pada masa akan datang apabila banyak kerja yang akan diserahkan kepadanya.
Sebahagiannya pula merasakan bakat itu tidak begitu penting, berbanding dengan tugas utama mereka, iaitu memastikan mereka mengajar dan murid belajar.
Maka jika itu berlaku, Pengetua kenalah rajin menyemak rekod-rekod mereka, mengambil kesempatan untuk mengenali mereka dengan lebih dekat dan mendapatkan maklumat itu daripada orang lain.
Jika cara itu pun gagal, kaedah mendedahkan guru dengan pelbagai peranan dikira dapat membantu seseorang Pengetua/Guru Besar mengenal pasti kebolehan dominan yang ada pada guru-gurunya. Apabila hal itu sudah dapat dikenal pasti akan mudahlah Pengetua meletakkan cabaran optimum kepada guru-gurunya. Pada masa yang sama itu boleh dijadikan salah satu skema kerja yang boleh diberikan penilaian untuk pertimbangan markah dan sebagainya.
Thursday, May 22, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment