Saya ingin mengucapkan Selamat Bercuti kepada para guru. Gunakanlah cuti dua minggu ini untuk benar-benar beristirehat.Kumpulkan semula tenaga dan kekuatan bagi menghadapi hari-hari lebih mencabar selepas sekolah dibuka semula.
Berehat atau beristirehat bukan bererti duduk diam di rumah sahaja, berbaring atau menghabiskan masa menonton TV.Beristirehat bermaksud mengalih diri dan minda kita kepada suasana, aktiviti dan pengalaman baru. Mengalih daripada suasana sekolah yang diulit murid, buku dan bangku bisu kepada suasana lain yang lebih terbuka, segar, luas dan bebas.
Allahyarham Sudirman, penyanyi no 1 Asia pernah berkata bahawa baginya rehat ialah berpindah daripada satu aktiviti kepada satu aktiviti yang lain. Ini menyeronokkan dan menyegarkan kata Sudir. Bagi saya inilah maksud rehat atau istirehat yang sebenar.
Cuti sekolah disediakan untuk pelajar, tetapi sebagai guru anda layak turut serta dan menggunakannya sebaik mungkin. Lain orang lain rancangannya pada masa cuti. Tetapi yang pasti ada tugasan yang perlu disiapkan, iaitu memeriksa kertas jawapan pelajar.
Selain itu, banyak kenduri kahwin diadakan pada masa cuti kali ini. Saya sendiri menerima tidak kurang daripada sepuluh jemputan. Cubalah sedaya upaya memenuhi undangan tersebut. Tapi saya hanya berkemampuan memenuhi undangan yang dekat. Kepada yang jauh tu saya mohon maaflah kalau saya tak dapat pergi. Al-maklumlah banyak faktor yang mesti dipertimbangkan.
Selain itu,musim cuti sekolah adalah masa yang paling sesuai untuk mengukuh semua jenis ikatan yang berkaitan. Semua jenis ikatan: ikatan kekeluargaan, ikatan perkahwinan, ikatan kejiranan dan ikatan kemasyarakatan. Ikatan yang longgar diketatkan semula, yang renggang dirapatkan semula dan yang jauh didekati dan dihampiri.
Saturday, May 24, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment